CCE, Oasis Xtract bangunkan teknologi ekstrak minyak alga pertama di Malaysia

Central Corporate Engineering Sdn Bhd (CCE) dan Oasis Xtract Sdn Bhd memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) pada Selasa.
PUTRAJAYA – Central Corporate Engineering Sdn Bhd (CCE) dan Oasis Xtract Sdn Bhd memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi membangunkan teknologi pengekstrakan minyak alga secara komersial pertama di Malaysia.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, inisiatif itu mencerminkan kerjasama strategik apabila CCE menghasilkan alga berskala besar manakala Oasis Xtract memiliki teknologi pengekstrakan minyak daripada alga tersebut.

Chang Lih Kang
“Teknologi heterotrofik yang digunakan oleh CCE iaitu teknik penanaman alga tanpa keperluan cahaya matahari adalah satu-satunya di dunia buat masa ini.
“Gabungan itu membolehkan penghasilan minyak mentah alga terus dari alga basah yang ditanam.
“Saya yakin kerjasama ini akan membuahkan hasil pada masa hadapan. Pasaran untuk produk berasaskan alga sangat besar, seiring dengan agenda kerajaan yang memfokuskan kepada industri berimpak tinggi dan mampan,” katanya dalam majlis menandatangani MoU di Dewan Putra Perdana, Pulse Grande Hotel pada Selasa.
Turut hadir, Pengarah Urusan CCE, Tham Weng Kong dan Pengerusi Eksekutif Oasis Xtract, Dr Abdul Rahim Ghouse.
Lih Kang yang juga Ahli Parlimen Tanjong Malim turut menyeru agar lebih banyak syarikat pemula mencontohi langkah tersebut di mana sektor swasta turut memainkan peranan aktif selain bantuan daripada kerajaan.

Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara CCE dan Oasis Xtract.
“Di peringkat kementerian, kita bukan sahaja menyediakan geran permulaan malah menyokong industri melalui pelbagai saluran lain seperti pembiayaan ekuiti dan pinjaman.
“Agensi seperti Malaysia Debt Ventures Bhd (MDV) sedia membantu dalam aspek pengkomersialan dan pemerkasaan kapasiti syarikat,” jelasnya.
Sementara itu, Weng Kong berkata, CCE akan menyediakan kepakaran dalam penanaman alga dan membekalkan biomassa alga kepada Oasis Xtract bagi tujuan pengekstrakan minyak.
“Kami bersetuju menubuhkan ‘NEWco’ bagi mengkomersialkan teknologi tempatan dan memperkukuh kedudukan Malaysia dalam bioekonomi hijau.
“Teknologi digunakan berbentuk sistem tangki tertutup serta tidak bergantung kepada fotosintesis.
“Ini membolehkan penghasilan alga yang konsisten tanpa bergantung kepada cuaca,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Rahim berkongsi, pihaknya sedang membangunkan kilang pengekstrakan minyak alga pra-komersial dalam tangki tertutup oleh Central Corporate Engineering Sdn Bhd (CCESB) dengan teknologi pengekstrakan tanpa pelarut.
“Kerjasama ini merangkumi penanaman, pengekstrakan, dan pemprosesan iaitu satu rantaian operasi yang meningkatkan kawalan kualiti, kebolehan skala, dan kecekapan kos untuk peluasan nasional serta serantau.
“Kami menggunakan gelombang mekanikal dan elektromagnetik tepat untuk memecahkan sel alga serta mengekstrak bio-minyak yang bersih. Ini menghasilkan alternatif yang lebih lestari juga selamat berbanding kaedah pengekstrakan konvensional,” katanya.